Reka bentuk Honda_Cub

Super Cub 1958

Honda Cub sering dibandingkan dengan Ford Model T, Volkswagen Beetle dan Jeep sebagai ikon industri dan pengangkutan abad ke-20.[7][16][17] C100 menggunakan kerangka monokok keluli ditekan, dengan enjin melintang ditempatkan di bahagian bawah tetulang utama, satu konfigurasi yang kini dikenali sebagai motosikal kapcai. Mengikut beberapa kriteria, adalah sukar untuk menentukan jenis motosikal yang layak bagi Cub, kerana ia mempunyai perwatakan seperti sebuah skuter dan motosikal biasa,[13] dan ada kalanya ia dipanggil moped, "step-thru", atau skuter.[8][18][19]

Papan pemuka bagi model-model 1966 CA100 dan 2009 Super Cub 110 PGM-FI.

Reraut plastiknya dipasang dari bawah bar hendal sehingga ke pemijak, melindungi kaki penunggang daripada angin dan puing-puing jalan, di samping menyembunyikan enjin daripada pandangan. Rekaan sebegini amat menyerupai skuter, tetapi tidak seperti skuter enjin dan kotak gear tidak dipasang pada takal belakang. Ia memberi beberapa kelebihan. Ia memindahkan enjin di bawah dan jauh daripada tempat duduk, mengasingkan gerakan lengan ayun belakang daripada rangkaian kuasa untuk berat tidak berspring yang lebih rendah, serta membolehkan aliran udara sejuk ke enjin lebih terus, serta membolehkan tayar yang lebih besar digunakan.[8] Penempatan enjin di tengah kerangka dan bukannya berhampiran roda belakang memberikannya keseimbangan berat hadapan dan belakang yang lebih baik.[9] Tangki bahan api ditempatkan di bawah pelana berengsel, yang boleh dibuka untuk mendedahkan tudung pengisinya. Tayar 17 inci, jika dibandingkan dengan tayar 10 inci yang biasa digunakan pada skuter, adalah lebih stabil, terutamanya di jalan yang kasar, serta menjadikan motosikal ini lebih mudah dikenali, dengan penampilan lebih ke arah basikal daripada skuter tayar kecil.[8]

Enjin Honda Cub.

Enjin empat lejang silinder tunggal injap atas (OHV) mempunyai saiz lubang x lejang 40-oleh-39-milimeter (1.6 in × 1.5 in), dengan sesaran 49 cc, serta mampu menghasilkan 3.4 kilowatt (4.5 hp) @ 9,500 rpm, dengan kelajuan maksimum 69 km/h (43 mph), dalam keadaan tertentu.[20] Nisbah mampatan yang rendah membolehkan enjinnya menggunakan petrol oktana rendah yang lazim didapati, di samping mempermudah proses menghidupkan enjinnya, serta menjadikan tambahan berat dan kos penghidup elektrik tidak diperlukan.[20] Walaupun terdapat beberapa variasi yang mempunyai penghidup elektrik, kebanyakannya dijual tanpa penghidup elektrik, termasuklah model terbaharu 2011 pasaran domestik Jepun (JDM) Super Cub 50 dan Super Cub 110, yang menggunakan teknologi terkini seperti sistem suntikan bahan api PGM-FI Honda serta mempunyai tolok bahan api.[21][22]

Penukaran gear tiga kelajuan dilakukan secara manual, tetapi tanpa klac, sebaliknya menggunakan klac emparan untuk menyambung atau memutuskan kuasa dari enjin.[20] Tidak seperti kotak gear CVT skuter, klac emparan ini membolehkan enjin Cub dihidupkan dengan menolaknya, satu kelebihan berguna ketika saat-saat kecemasan.[9]

Cub terawal menggunakan sistem penyalaan magneto 6 volt yang ditempatkan pada roda tenaga, dengan bateri untuk mengekalkan kuasa pada lampu-lampu, sementara model terkini dinaik taraf kepada sistem penyalaan nyahcas kapasitor (CDI). Sistem pelinciran tidak menggunakan pam minyak atau penapis minyak, sebaliknya menggunakan sistem simbahan primitif bagi kedua-dua enjin dan kotak gear, dengan penuras kasa dawai untuk mengumpul kotoran dalam minyak enjin yang hanya perlu dibersihkan semasa baik pulih penuh. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan brek gelendong. Roda hadapan dan belakang pula menggunakan rim lidi bersaiz 2.25" × 17".[20][23]

Honda mengesyorkan pemeriksaan harian bagi lampu, hon, tekanan tayar, brek, aras bahan api dan minyak enjin, serta pemeriksaan mingguan bagi paras elektrolit bateri. Tempoh "break-in" enjin baharu dilakukan pada 320 kilometer (200 mi), memerlukan pelarasan kelegaan injap dan titik sesentuh, serta penukaran minyak, dan penunggang dinasihatkan untuk menunggang tidak melebihi 48 kilometres per hour (30 mph) bagi jarak 800 kilometer (500 mi) pertama. Setiap 1,600 kilometer (1,000 mi) palam pencucuh perlu dibersihkan dan ketegangan rantai diperiksa, dan setiap 3,200 kilometer (2,000 mi) minyak pelincir ditukar, kelegaan titik sesentuh diperiksa dan kelegaan injap dilaras. Pada 8,000 kilometer (5,000 mi), penyelenggaraan utama dilakukan, yang memerlukan karburetor, rantai pacu, peredam ekzos dan galas bebola ditanggalkan dan dibersihkan.[23] Penunggang menarik tombol pencekik untuk membantu menghidupkan enjin ketika sejuk.[23] Mengikut piawaian hari ini, ia adalah motosikal yang sangat ringkas, dengan keperluan penyelenggaraan yang minima, dan ia memperoleh reputasi sebagai motosikal yang sangat boleh diharap.[14][20]

Rujukan

WikiPedia: Honda_Cub http://www.thenational.ae/lifestyle/motoring/the-s... http://100megsfree4.com/honda/h0050/cub.htm http://www.autoblog.com/2009/10/23/tokyo-2009-hond... http://www.automobilemag.com/features/news/0908_fi... http://www.gizmag.com/honda-2wd-electric-motorcycl... http://books.google.com/books?id=30sEAAAAMBAJ&pg=P... http://books.google.com/books?id=49Tc7jRSBrIC&pg=P... http://books.google.com/books?id=CSxTaoGagKoC&pg=P... http://books.google.com/books?id=F0P8kvrs9iEC&pg=P... http://books.google.com/books?id=GikEAAAAMBAJ&pg=P...